…..ahlan wa sahlan…..
04.22 | Posted in

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang…
Kalimat salaf, salafi atau salafiyah dinasabkan kepada para Salaf as-Soleh. Kalimat salaf memberi pengertian berikut:


1. “Yang asal (yang mula-mula) atau golongan yang mula-mula dan yang terdahulu. Antara yang dimaksudkan ialah para salaf yang telah berlalu dankaum salaf yang terdahulu.”
2. Berkata Ibn Mansur: “Salaf ialah siapa yang telah mendahului engkau yang terdiri dari ibu bapak atau kaum kerabat yang lebih tua pada umur dan kedudukan.”
Kalimat salaf disebut juga di dalam al-Quran sebagaimana firman Allah:
“Dan Kami jadikan mereka (orang) yang terdahulu sebagai pelajaran dan contoh bagi orang-orang yang kemudian.” [Az-Zukhruf, 43:56.]
Menurut istilah: Salaf as-Soleh (salafi atau salafiyah) terdiri dari paranabi, para rasul dan para sahabat mereka. Nabi Muhammad sholallahu ‘alayhi wasallam adalah juga seorang Rasul, Nabi dan Salafi sebagaimana pengakuan baginda:
“Bersabda Rasulullah sholallahu ‘alayhi wasallam: Dan tidaklah ada yang sedang aku rasakan pada usiaku kecuali sudah menghampiri (kematian), maka bertakwa dan bersabarlah (wahai Fatimah!) sesungguhnya semulia-mulia salaf adalah aku bagimu.”
As-Salaf as-Soleh ialah generasi awal yang terdiri dari kalangan mereka yang berilmu, mendapat hidayah melalui petunjuk Nabi sholallahu ‘alayhi wasallam, pemelihara sunnah Nabinya, Allah memilih mereka menjadi sahabat Nabi, mereka tercalon untuk menegakkan agamanya, diredhai oleh Allah,berjihad pada jalan Allah dengan sebenar-benar jihad, mengorbankan masa mereka untuk menasihati ummah, memberi manfaat kepadanya dan berusaha untuk mencari keredhaan Allah sehingga Allah memuji mereka di dalam kitabNya.Firman Allah:
“Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan merekapun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Mereka kekal di dalamnya buat selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.” [At-Taubah, 9:100.]
Para ulama yang berpegang dengan manhaj Salaf as-Soleh meyakini bahwa para sahabat, tabiin dan tabiut at-tabiin adalah termasuk dalam golongan salaf as-soleh.
Keterangan ini berdasarkan kepada beberapa buah hadith Nabi Muhammad sholallahu ‘alayhi wasallam sebagaimana di bawah ini:
“Maka setelah Zainab Binti Rasulullah sholallahu ‘alayhi wasallam wafat, Rasulullah sholallahu ‘alayhi wasallam bersabda: Pertemukan dia dengan salaf kita yang baik Uthman bin Madz’oun.”
“Rasulullah sholallahu ‘alayhi wasallam pernah melintasi perkuburan Madinah lantas menghadapkan wajahnya dan bersabda: Wahai ahli kubur! Allah mengampunkan kami dan kamu, kamu adalah salaf kami dan kami adalah bakal menyusul.”
Yang didoakan oleh Nabi Muhammad sholallahu ‘alayhi wasallam agar diampunkan dosanya ialah orang-orang Islam yang telah meninggal karena tidak diharuskan nabi dan orang-orang beriman mendoakan orang-orang kafir supaya diampunkan dosanya sebagaimana firman Allah:
“Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat(nya) sesudah jelas bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka Jahannam.”. [At-Taubah, 9:113.]
Berkata Ibn Hajar al-Qatari:
“Maka apa yang dimaksudkan sebagai mazhab salaf ialah: (Mengikuti) sebagaimana (yang telah diikuti) oleh para sahabat yang mulia yang mana mereka sekalian telah diredhai oleh Allah, begitu juga para tabiin yang mengikuti mereka dengan baik serta semua mereka yang mengikutinya dengan baik sehinggalah ke Hari ad-Din (Hari Kiamat).”
Mahmud Muhammad Khufaji menulis:
“Bukanlah penentuan zaman sudah memadai dalam perkara ini, tetapi di samping penentuan tersebut (bahwa salaf bukan saja generasi yang berada) di zaman (para sahabat) yang telah berlalu zamannya, malah perlulah juga ada kesecucukan (kesepakatan) pandangan mereka dengan al-Kitab dan as-Sunnah, sama ada secara nas atau kerohanian. Siapa yang pandangannya bertentangan dengan al-Kitab dan as-Sunnah maka dia tidak boleh dinamakan salafi sekalipun ia hidup di tengah-tengah para sahabat, tabiin dan tabiut at-tabiin.”
Ini menandakan bawa siapa saja akan dianggap sebagai salafi setelah ia mengikut jalan (berittiba’ dengan manhaj) generasi awal yang mencontohi mereka (para sahabat, tabiin dan tabiut at-tabiin) dalam memperolehi ilmu, cara memahaminya dan sikap serta cara berdakwah.
Sesungguhnya salafiyah dan berittiba’ kepada salaf bukanlah sesuatu yang boleh dianggap sebagai bid’ah daripada bid’ah-bid’ah orang-orang yang terkemudian, sebaliknya salafiyah (atau berittiba’ kepada salaf) adalah manhaj para rasul, para nabi serta para sahabatnya.
Wajibnya setiap mukmin kembali kepada pegangan para Salaf as-Soleh ialah berdasarkan perintah dari Allah dan RasulNya. Menurut keterangan dari al-Quran dan as-Sunnah, para Salaf as-Soleh (terutamanya yang terdiri dari para sahabat) telah dijamin masuk syurga kerana mereka meredhai Allah dan Allah pula telah redha terhadap mereka.
Tabiin dan tabiut at-tabiin pula dijamin sebaik-baik manusia kerana zaman dan generasi mereka adalah zaman kesempurnaan akidah, muamalah dan akhlak. Cara hidup dan segala amalan agama yang mereka laksanakan pada setiap aspek terhindar dari segala bentuk bid’ah, kesyirikan, khurafat, tahayul, campur tangan atau pencemaran akal fikiran manusia.
Di dalam ayat yang lain Allah telah memuji para sahabat, tabiin, tabiut at-tabiin serta orang-orang yang mengikuti jejak mereka dalam urusan agama sebagai sebaik-baik ummah sebagaimana firmanNya:
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf dan menegah dari yang mungkar serta beriman kepada Allah.” [Ali Imran, 3:110.]
Manhaj Salaf as-Soleh adalah manhaj yang paling selamat diikuti kerana para salaf adalah generasi yang terjamin, terbaik dan termulia walaupun mereka tidak maksum terutamanya para salaf yang terdiri dari kalangan para sahabat yang hidup di sisi dan di zaman Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam lantaran mereka telah ditarbiyah (diasuh) oleh wahyu. Mereka mengetahui mengapa, kerana apa, bila dan sebab musabab turunnya wahyu tambahan pula ahyu turun menggunakan bahasa mereka. Oleh sebab itu Nabi Muhammad sholallahu ‘alayhi wasallam menjamin kesempurnaan dan kemuliaan mereka sebagaimana sabda baginda:
“Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabiin) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabiut at-tabiin).”
Seseorang individu ataupun jamaah tidak boleh dianggap sebagai salafi kecuali setelah meninggalkan semua bentuk taqlid buta. Setelah itu sewajarnya ia memenuhi semampu mungkin perkara-perkara berikut:
1- Mencintai para salaf yang terdiri dari para sahabat, tabiin, tabiut at-tabiin dan mereka yang mengikuti mereka dengan ihsan (baik)kemudian ittiba’ (mengikuti/mentaati) manhaj mereka.
2- Mempelajari dan memahami manhaj salaf (yang dikenali juga sebagai Ahli Sunnah wal-Jamaah) kemudian mengamalkannya dan berdakwah dengan uslub (metod) Salaf as-Soleh.
3- Senantiasa beriltizam (komited) dengan manhaj salaf dalam semua aspek agama sama ada di segi akhlak, dakwah, suluk, perkataan, perbuatan dan yang lain-lainnya.
Dalam syara para Salaf as-Soleh dikenali juga dengan nama-nama yang berikut:
1- AL-JAMAAH
Nama jamaah diambil dari nas (hadith) Rasulullah sholallahu ‘alayhi wasallam:
“Sesungguhnya Ahli Kitab berpecah dalam agama mereka kepada 72 golongan. Sesungguhnya umat ini akan berpecah belah kepada 73 golongan semuanya ke neraka kecuali satu iaitu Jamaah.”
Mereka yang berpegang dengan manhaj salaf dinamakan al-Jamaah oleh Nabi sholallahu ‘alayhi wasallam kerana mereka bersatu dalam persaudaraan Islam dengan cara berittiba’ kepada al-Quran dan as-Sunnah bukan ibtida’ hawa nafsu. Ahli Salafi menganggap perpecahan sebagai perbuatan bid’ah yang diharamkan yang menyebabkan pelakunya ke neraka. Hadith-hadith Nabi Muhammad sholallahu ‘alayhi wasallam menjelaskan lagi:
“Dari ‘Auf bin Malik: Akan berpecah Yahudi kepada 71 firqah, satu firqah ke syurga dan 70 ke neraka. Akan berpecah Nasrani kepada 72 firqah, 71 firqah ke syurga dan satu ke syurga. Demi diri Muhammad yang berada di tanganNya, pasti akan berpecah ummatku kepada 73 firqah hanya satu ke syurga dan 72 ke neraka. Ditanyakan: Siapa mereka wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Al-Jamaah.”
Diriwayat yang lain:
“Bersabda Rasulullah sholallahu ‘alayhi wasallam: Sesungguhnya mereka yang sebelum kamu dari kalangan Ahli al-Kitab berpecah kepada 72 pecahan. Sesungguhnya millah (ummat ini) akan berpecah kepada 73 (yang mana) 72 ke neraka dan satu ke syurga iaitu al-Jamaah.”
Diriwayat yang lain:
“Dari Abdullah bin ‘Amr: Akan berpecah ummatku kepada 73 pecahan semuanya ke neraka kecuali millah yang satu: Iaitu apa yang aku dan para sahabat (sesiapa yang seperti aku dan para sahabatku.” Dan diriwayat yang lain:”(Yang ke syurga) ialah al-Jamaah. Tangan Allah atas al-Jamaah.”
2- AHLI SUNNAH WAl-JAMAAH ATAU JAMAATUL MUSLIMIN
Nama ini terdiri dari dua kalimah:
(1). Ahli Sunnah. Sunnah yang dimaksudkan ialah sunnah Rasulullah sholallahu ‘alayhi wasallam. Dinamakan Ahli Sunnah karena berittiba’ kepada sunnah. Sunnah pula sangat bertentangan dengan bid’ah, oleh karena itu Ahli Sunnah sangat menentang Ahli Bid’ah atau Ahli al-Ahwa.
(2). Al-Jamaah menurut bahasa diambil dari kalimah (jama’a) iaitu mengumpulkan yang bercerai-berai (berpecah belah). Antara maksud jamaah ialah yang bersatu dan lawannya pula ialah yang berpecah. Kalimat ini menunjukkan perkumpulan manusia yang mana mereka bersatu untuk tujuan yang satu (yang sama). Menurut ta’rif (istilah) ilmu pula jamaah ialah beberapa kalimat ahli ilmu yang berkisar di atas enam makna (nama):
1. Golongan yang besar/ramai dari kalangan umat Islam. 2. Jamaah ulama yang mujtahid. 3. Jamaah yang terdiri dari para Sahabat secara khusus. 4. Jamaah umat Islam yang bersatu atas satu matlamat. 5. Jamaah muslimin yang bersatu di bawah satu amir. 6. Jamaah yang mengikuti kebenaran termasuklah semua para ahlinya.
Dimaksudkan juga sebagai jamaah ialah mereka yang terdiri dari kalangan para sahabat dan sesiapa sahaja yang berittiba’ kepada sunnah Nabi sholallahu ‘alayhi wasallam dan athar para sahabat sebagaimana yang dijelaskan di dalam hadith:
“Hendaklah kamu kembali (ittiba’) kepada sunnahku dan sunnah para Khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk.”
Pemakaian gelar Ahli Sunnah wal-Jamaah muncul di akhir zaman sahabat berdasarkan keterangan yang diambil dari athar Ibn Abbas semasa menafsirkan firman Allah:
“Pada hari yang di waktu itu ada muka yang putih berseri dan ada pula muka yang hitam muram.” [Ali Imran, 3:106.]
Menurut Ibn Abbas:
“Adapun yang putih berseri mukanya ialah Ahli Sunnah wal-Jamaah dan Ulul al-Ilm dan yang hitam muram mukanya ialah Ahli Bid’ah dan orang yang sesat”.
3- AHLI AL-HADITH ATAU AHLI ATHAR
Berkata Ibn Qaiyim:
“Setiap individu telah mengetahui bahawa ahli hadith adalah golongan yang paling benar sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn Mubarak: Aku dapati agama berada pada ahli hadith, percekcokan (banyak cakap) pada golongan Muktazilah, pembohongan pada ar-Rafidah (Syiah) dan banyak berhelah (beralasan) pada Ahli Ra’yu.”
4- FIRQAH AN-NAJIAH (AL-MANSURAH) ATAU AT-TAIFAH AN-NAJIAH.
Berkata Ibn Taimiyah:
“Apa yang dikatakan Firqah Najiah ialah pengikut para sahabat di zaman Rasulullah sholallahu ‘alayhi wasallam. Ia adalah syiar Ahli Sunnah. Dinamakan Firqah najiah kerana mereka itu terdiri dari Ahli sunnah (ittiba’ as-Sunnah)”.
5- AHLI ITTIBA’.
Dinamakan Ahli Ittiba’ kerana berittiba (mengikuti/mematuhi) al-Quran, as-Sunnah Rasulullah sholallahu ‘alayhi wasallam serta athar para sahabat r.a dan menentang taqlid.
Category:
��